Pelajar dilarang bawa telefon bimbit ke sekolah

, , No Comments
PUTRAJAYA: Berkuatkuasa serta-merta, semua pelajar dilarang membawa telefon bimbit ke sekolah termasuk sekolah berasrama bagi memastikan sistem pembelajaran dan pengajaran tidak terjejas.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan itu dibuat selepas kementerian menerima maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Katanya, larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah sudah dikeluarkan menerusi Surat Pekeliling Bilangan 1/2006 bertarikh 20 Januari 2006.

"Walaupun larangan penggunaan telefon bimbit sudah dikeluarkan tetapi ia tidak dikuatkuasakan kerana kementerian menerima pelbagai rungutan daripada ibu bapa atas alasan sukar menghubungi anak masing-masing.

"Namun, kita rasa sudah tiba masanya larangan itu dikuatkuasakan kerana penggunaannya didapati menjejaskan tumpuan pelajar dalam kelas, sekali gus terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di sini, petang semalam.

Sumber : Berita Harian 18 March 2009





0 comments:

Post a Comment