RANAU: Kementerian Pelajaran menerusi Jabatan Pelajaran memandang serius isu ketidakhadiran guru di sekolah, tegas Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin.
Beliau berkata hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 sekolah juga tidak hadir bertugas.
“Pihak kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) berasa kesal dan memandang serius tentang ketidakhadiran guru ke sekolah,” katanya ketika ditemui di SMK Ranau, di sini.
Muhiddin menegaskan walaupun kejadian itu mungkin terpencil, namun hal berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mampu melumpuhkan sistem pendidikan negara jika tidak ditangani sewajarnya.
“Dengan itu, juga difikirkan keperluan untuk JPNS mewujudkan satu lagi program iaitu Program AKUN yang bakal dilaksanakan pada tahun 2012-2016.
“Ia bertujuan meningkatkan peratusan kehadiran guru di sekolah sekaligus memantapkan lagi keberkesanan penyampaian serta penyebaran maklumat pekeliling dan peraturan di semua peringkat, menerusi empat strategi pelaksanaan iaitu e-Cerap, Pemantauan Silang, Pemantauan Bersepadu dan e-Hadir,” katanya.
Menurut Muhiddin lagi, program itu yang bersifat serampang empat mata akan menekankan pemantapan kualiti perkhidmatan di peringkat sekolah yang menjadi cermin kejayaan dan pencapaian sebenar pendidikan.
Beliau memaklumkan e-Hadir dan e-Cerap membolehkan pemantauan kehadiran guru dan anggota kakitangan sokongan serta pelaksanaan proses pencerapan dilakukan secara online.
Sementara pemantauan bersepadu dan silang akan dapat menyelia pelbagai elemen di luar bidang masing-masing untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan termasuk ruang dan peluang kepada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) memantau semua sekolah di bawah kawalan masing-masing melalui pendekatan antara zon dan sekolah.
Dengan tema ‘Transformasi Sikap Ke Arah Integriti’, katanya, program itu menyediakan ruang bagi kakitangan Jabatan Pelajaran untuk mentransformasikan sikap ke arah lebih bertanggungjawab, komited dan berintegriti.
“Program AKUN ini juga tentunya memberi ruang dan peluang kepada pentadbir di sekolah dan PPD memberi khidmat serta bimbingan dengan lebih terus, bersepadu dan komprehensif,” jelas Muhiddin dan mengharapkan kepada semua warga pendidikan supaya membuat penilaian kendiri bagi meningkatkan kopetensi dalam pengajaran di dalam kelas kerana setiap orang akan dipantau, seterusnya mampu menangani isu ketidakhadiran guru di sekolah.
Beliau juga mengharapkan supaya enam impak Program AKUN akan dapat dicapai dengan cemerlang iaitu Keputusan Peperiksaan Awam Meningkat, Kos Tenaga, Masa dan Wang Dapat Dioptimumkan, Semua Sekolah Dapat Dipantau Dalam Jangka Masa Setahun, Peningkatan Kualiti P&P Guru, Masalah Ketidakhadiran Guru/AKS Dapat Dikurangkan dan Amalan Budaya Kerja AKUN Diterapkan.
Ia berlandaskan 5M fungsi utamanya yakni Melatih, Membimbing, Memantau, Menilai dan Menambahbaik melibatkan empat tenaga bersepadu JPNS/Sektor, PPD, Pengetua/Guru Besar dan Guru.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Maimunah Suhaibul, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Raisin Saidin bersama ratusan pegawai daripada JPNS, para PPD seluruh Sabah, pengetua, guru besar dan warga pendidikan daerah Ranau.
0 comments:
Post a Comment